Lompat ke isi

Kebudayaan Islam

Dari Wikipedia bahasa Indonesia, ensiklopedia bebas
Revisi sejak 3 Juni 2006 15.15 oleh Blizzard youkai (bicara | kontrib) (→‎Konsep Tamadun dan Kebudayaan: - ertinya->artinya, faham->paham)


Artikel ini menguraikan konsep tamadun Islam, pertumbuhan dan sumbangannya terhadap peradaban dunia. Penekanannya ditumpukan kepada kemajuan sains dan teknologi, kegiatan intelektual di dunia Islam, perubahan-perubahan yang dibawa oleh Islam khususnya di alam Melayu serta gagasan pembangunan kembali tamadun Islam.

Konsep Tamadun dan Kebudayaan

AGAMA SEBAGAI PENDORONG ATAU PEMBENTUK

PERTEMBUNGAN TAMADUN


OLEH

MUHAMMAD 'UTHMAN EL-MUHAMMADY


Kita boleh bermula dengan melihat agama (“al-din”) menerusi pengertiannya yang menyeluruh sebagaimana sifat Islam yang membawa kepada timbulnya “diri” peradaban tertentu dengan ciri-ciri yang semuanya berpaksikan tauhid atau keyakinan terhadap Keesaan Tuhan Yang Mutlak. Bermula daripada aspek yang paling batin, dengan akidah dan hidup rohaniahnya, berserta dengan nilai-nilai akhlaknya, hingga kepada peraturan-peraturan hidup yang menyeluruh, yang merangkumi seluruh aspek hidup manusia dan tamadunnya, yang membawa kepada timbulnya institusi-institusi, cara-cara pemerintahan, perkembangan ilmu sastera dan sains, dengan aspek-aspek fisikal, sosial, moral, dan rohani peradaban atau tamadun yang dibinanya. Dengan itu timbullah “peribadi” peradaban yang berupa keseluruhan yang organik itu.

Kemudian, apabila agama yang sedemikian ini – yang bermula daripada wahyu murni dari alam tinggi tanpa bentuk (formless) turun ke alam manusiawi dan menimbulkan ciri-ciri perkembangan sebagaimana di atas, dengan tamadun dan budaya tertentu, “bertemu” dengan tamadun lain secara biasa atau secara kekerasan (seperti yang berlaku dalam Perang Salib, atau peperangan yang membawa kepada penjajahan negeri-negeri Timur), maka berlakulah perubahan-perubahan pada beberapa paras yang insya’ Allah akan dibicarakan nanti.

Pertemuan itu – boleh wujud sebagai pertembungan dengan agama seperti Islam memainkan peranannya sebagai pembentuk pertembungan; ia sebagai pembentuk pertembungan kerana membentuk beberapa ciri rohani, intelektual, akhlak, budaya dan peradaban yang tersendiri. Ini berlaku daripada tuntutan agama itu sendiri, seperti tauhidnya tentang keTuhanan; akidahnya dengan cawangan-cawangannya tentang alam ghaib, kenabian, dan konsep wahyu dan tadbir Ilahi. Ia menuntut bentuk hidup rohaniah tertentu dengan keyakinan dan ajarannya; dengan nilai-nilai akhlak peribadi, kekeluargaan, masyarakat dan umat seluruhnya. Ia menuntut bentuk-bentuk kehidupan mengikut ketentuan hukumnya yang menyeluruh, serta dengan “kecapan” seni dan budayanya yang berkembang dalam acuan paham alam, ilmu, dan nilainya.

Artinya, ia bertembung dengan apa-apa yang lain daripada tauhidnya, yang lain daripada bentuk hidup rohaninya berdasarkan tauhid itu, yang menunjukkan nilai-nilai yang lain daripada nilai-nilainya berdasarkan taqwanya – nilai-nilai benar, amanah, kerjasama, kebijaksanaannya, persaudaraannya (dengan mengambil kira pula bahawa pada paras nilai-nilai ini banyak terdapat persamaan dengan tamadun-tamadun lain), dan yang lain daripada peraturan-peraturannya dalam syariatnya yang menyeluruh itu.

Walau bagaimanapun, ajarannya tentang memberi kebebasan kepada wakil-wakil peradaban lain menjalankan kehidupan mereka dengan bebas (sebagaimana yang terbayang dalam “Perlembagaan Madinah” yang tercatat dalam Sirah Ibn Ishaq yang diulas dengan baik oleh Prof. Hamidullah) memberi ruang yang banyak untuk wujudnya hidup kejiranan antara Orang-Orang Yahudi dan Kristian dalam negeri-negeri Islam dari zaman dahulu sampai zaman sekarang. Kewujudan agama-agama lain diiktiraf dalam kehidupan peradaban Islam yang menjadi realiti sejarah yang nyata. Dengan itu, berlaku “pertembungan” dalam aspek-aspek yang tersebut dengan agama sebagai pembentuknya.

Boleh juga dinyatakan bahawa agama mendorong kepada berlakunya pertembungan itu, kerana agama seperti Islam mahukan umatnya menghayatinya dengan seikhlasnya dalam kehidupan mereka dan menonjolkan kebenaran dan kecantikan agama itu dalam hidup mereka. Dorongan ini terdapat dalam hukum Syara’ yang mewajibkan amalan-amalan tertentu seperti sembahyang dan menunaikan zakat dan menggalakkan amalan-amalan tertentu, melarang amalan-amalan tertentu dan tidak menggalakkan amalan-amalan tertentu, berserta dengan sikap yang berkaitan dengannya. Juga, dorongan ini terdapat pada tuntutan ke atas penghayatan hidup rohaniah yang berkesan dan ikhlas dengan dorongan supaya tercapai pendakian hidup rohaniah yang bermakna, misalnya sebagaimana yang terdapat pada takrif “jalan pendakian yang tinggi” (“al-‘aqabah) dalam Surah al-Balad misalnya, selain daripada tuntutan jihad. Dorongan ini juga terdapat pada kehidupan akhlak yang mulia yang merupakan satu daripada aspek-aspek asasi kedatangan agama ini ke dunia ini, sebagaimana yang diriwayatkan dalam hadis riwayat Abu Daud. Pada mereka yang beriman, penghayatan agama ini ialah untuk menzahirkan rahmat Ilahi kepada umat manusia sebab agama ini datang – sebagaimana Nabinya juga – sebagai “rahmat untuk seluruh alam”.

Hubungan antara Ilmu Pengetahuan dengan Tamadun

Islam dan Tamadun Dunia

Pengaruh Tamadun Islam di Alam Melayu